Rabu, 16 Mac 2011

Nabi dan Harta Anak Yatim

Kala menyambut Maulidur Rasul, sedar atau tidak, Muhammad bin Abdillah adalah seorang anak yatim. Ayah nabi wafat kala Muhammad masih di dalam kandungan. Ibunya wafat kala usia Muhammad baru menjengah enam tahun. Muhammad membesar sebagai anak yatim, tanpa didikan ibu dan bapanya; tetapi Allah SWT mendidik nabi dengan cara yang kita tidak sangka.
Sesungguhnya didikan Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk. Bahkan menjadi anak yatim dan piatu dalam usia yang sebegitu mentah, juga adalah satu bentuk tarbiyyah Allah. Lalu nabi beradaptasi dengan suasana sekelilingnya. Nabi menjadi manusia yang matang dan mandiri. Nabi tidak banyak bergantung dengan orang lain dalam melestarikan hidupnya.
Firman Allah: “Bukankah engkau dalam keadaan yatim piatu? Lalu diadakan-Nya orang yang akan melindungimu? Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk (ad-Dhuha: 6-7)
Sama ada secara kebetulan atau satu perancangan, semuanya sudah ditetapkan oleh Allah Azzawajalla. Nabi kemudiannya amat terkenal sebagai orang yang begitu santun kepada anak-anak yatim. Semuanya tergambar jelas daripada akhlak nabi. Bahkan banyak kali Allah SWT menurunkan wahyu-Nya, yang menyentuh tentang anak-anak yatim, termasuklah harta anak yatim.
Misalnya firman Allah SWT: “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin,” (al-Baqarah: 177)
Kenapakah Allah SWT berulang-ulang kali mengingatkan kita mengenai harta anak yatim? Ini kerana, kedudukan mereka yang biasanya naïf dalam menentukan hala tuju kehidupan sering kali dieksploitasi oleh mereka yang bijak mengambil kesempatan. Mentang-mentanglah mereka serba tidak tahu, maka bebas dan panjang akallah orang yang menguruskannya. Hingga kadangkala, habis harta si anak yatim dileburkan tanpa membawa pulangan kepada mereka.
Atas dasar itu jugalah, Allah SWT memberi amaran dengan firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka),” (an-Nisa’: 10)
Bersempena kedatangan Maulid Nabi SAW yang masih terasa hangat sambutannya, maka contohilah cara nabi memuliakan anak-anak yatim. Misalnya, nabi pernah menyatakan: “Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan),” (HR Bukhari daripada Dari Abu Hurairah r.a)
Menguruskan harta anak-anak yatim memerlukan sifat amanah yang tinggi. Bukan senang mengawal nafsu, kerana harta semuanya sudah di tangan. Malah jika ditipu sekali pun, apalah anak-anak yatim khususnya yang masih kecil itu tahu. Bahkan, jika mereka tahu sekali pun, apalah daya mereka untuk membetulkan keadaan. Maka, terzalimilah mereka.
Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang, maksudnya: “Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya.” (Riwayat Ibnu Majah)
Pesanan ini sesungguhnya, adalah untuk semua. Bukanlah ia dikhususkan hanya kepada mereka yang menjadi pengasuh anak yatim, atau mereka yang menikahi pasangan yang sudah beranak dan ayah atau ibu si anak itu sudah meninggal dunia. Setiap daripada kita sebenarnya wajib memelihara anak yatim, kerana ia adalah sunnah rasul yang mulia.
“Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang(nya),” (ad-Dhuha: 9) dan janganlah kita menjadi manusia yang disifatkan Allah SWT sebagai pendusta agama, kerana antara sifat mereka itu digambarkan Allah: “Dialah orang yang menindas serta berlaku zalim terhadap anak yatim,” (al-Ma’un:2). Wallahua’lam

Etiqa menang Anugerah Bank Takaful Terbaik

Etiqa Takaful Bhd memenangi Anugerah Bank Takaful Terbaik pada Anugerah Takaful Antarabangsa 2009, yang diadakan sempena Persidangan Takaful Antarabangsa Ketiga 2009 di London.
     Anugerah itu disampaikan kepada Etiqa, satu-satunya syarikat takaful Malaysia yang diberi pengiktirafan dalam acara global 17 kategori itu, oleh House of Lords, Mohd Shiekh, yang juga Ketua Forum Konservatif Muslim.
     Tahun 2008, Etiqa Takaful memenangi anugerah Pemasaran Takaful Terbaik pada Anugerah Takaful Antarabangsa 2008. Ketua Eksekutifnya, Mohd Tarmidzi Ahmad Nordin berkata, Etiqa menjadi penyedia takaful pertama di Malaysia dengan memperkenalkan Produk Berkaitan Pelaburan Patuh Syariah, yang menyaksikan produk Al-Waqi, mendapat sambutan menggalakkan dengan caruman lebih RM100 juta.
     Katanya, pertumbuhan 58.9 peratus dalam tempoh hanya sembilan bulan pertama  perniagaan perbankan takaful bagi tahun kewangan 2008/2009, sekaligus membuktikan kepercayaan rakan bank takaful dan juga pelanggan terhadap syarikat.
     Ia dengan sendirinya menjadi pemacu di sebalik pertumbuhan Etiqa yang mencapai pertumbuhan perniagaan 32.1 peratus pada sembilan bulan pertama tahun kewangan tahun ini," katanya selepas menerima anugerah itu pada majlis makan malam Anugerah Takaful Antarabangsa 2009 yang lepas.

Selasa, 15 Mac 2011

Etiqa Takaful bolot lima anugerah

KUALA LUMPUR 11 Mac – Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa Takaful) menerima lima anugerah pada Malam Anugerah Takaful kali kedua anjuran Persatuan Takaful Malaysia.

Lima anugerah yang berjaya dirangkulnya itu ialah Pengendali Kumpulan Perniagaan Terbaik, Pengendali Bantakaful Terbaik dan agensinya, Adventurine Agensi Sdn. Bhd. yang memenangi Anugerah Pengeluar Juta Dolar dan agennya, Zulkifli Othman pula meraih Anugerah Agensi Juta Dolar.

Etiqa Takaful juga dinamakan sebagai Pengeluar Perniagaan Kumpulan Terbaik dan Anugerah Perniagaan Kumpulan Takaful Terbaik untuk kerjasamanya dengan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia.

”Kemenangan ini menunjukkan kejayaan Etiqa Takaful sebagai peneraju dalam industri ini dan menjadikan ia berbeza melalui platform menginsankan takaful,,” kata Shahril Azuar Jimun, Ketua Pegawai Eksekutifnya.